DEFINISI TADIKA/PENDIDIKAN PRASEKOLAH
Tadika merupakan singkatan daripada Taman Didikan Kanak-Kanak. Takrif tadika tidak dinyatakan dengan jelas dalam Akta Pendidikan 1961. Walau bagaimanapun pengurusan tadika boleh difahamkan sebagai mana-mana premis yang menerima masuk lebih dari 4 orang kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun untuk tujuan menerima pendidikan dengan upah. Matlamat utama pendidikan di peringkat tadika ialah sebagai persediaan awal ke alam persekolahan formal apabila kanak-kanak tersebut berumur 7 tahun. Menurut Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (2003), pendidikan pra-sekolah didefinisikan sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam persekolahan diperingkat sekolah rendah. Pengalaman persekolahan dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menggembirakan dapat membekalkan mereka dengan kemahiran, keyakinan diri dan sikap positif sebagai persediaan untuk memasuki alam persekolahan formal dan pendidikan sepanjang hayat. Menurut Rohaty MohdMajzub (2003), pendidikan prasekolah adalah tahun-tahun kritis dan asas kepada peringkat pendidikan selanjutnya serta menentukan kejayaan hidup seseorang individu. Pendidikan prasekolah juga adalah satu program yang menyediakan pengalaman pembelajaran kepada kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun dalam jangka masa satu tahun atau lebih sebelum masuk ke Tahun Satu di sekolahformal. Pembelajaran tadika bukan merupakan pembelajaran wajib dalam Pendidikan Malaysia. Namun begitu penubuhan tadika oleh pihak swasta amat digalakkan oleh pihak kerajaan. Konsep yang digunakan ialah "Belajar Sambil Bermain" dengan menekankan "Pembelajaran Bertema". Kaedah pembelajaran ialah meliputi aktiviti kelas, aktiviti kumpulan dan aktiviti individu. Keunikan prasekolah yang dianjurkan Kementerian Pelajaran Malaysia ialah aktiviti kumpulan yang berupaya meningkatkan kualiti kawalan emosi dan intelektual. Pendedahan terhadap aktiviti ini dapat menyediakan asas yang kukuh bagi pembelajaran berkonsepkan sekolah bestari. Selain itu, pendidikan prasekolah merupakan pengalaman awal yang penting dalam dunia persekolahan kepada seseorang kanak-kanak. Pengalaman persekolahan dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menggembirakan dapat membekalkan mereka dengan kemahiran, keyakinan diri dan sikap yang positif sebagai persediaan untuk memasuki alam persekolahan formal dan pendidikan sepanjang hayat. Peluang pendidikan prasekolah diberi kepada semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang sosial, agama, lokasi tempat tinggal, keadaan kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak serta perkembangan intelek mereka. Bagi kanak-kanak berkeperluan khas mereka diberi peluang untuk belajar dalam kelas biasa atau kelas khas sesuai dengan keadaan dan keperluan mereka. Program pendidikan prasekolah hendaklah sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak supaya dapat merangsang pemikiran, membina sikap positif dan akhlak yang baik, meningkatkan kecergasan dan kesihatan ke arah penyuburan potensi yang optimum. Oleh itu, kurikulum pendidikan prasekolah member fokus kepada perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Pendekatan pembelajaran yang fleksibel dan suasana pembelajaran yang selesa, selamat dan ceria dapat menggalakkan naluri ingin tahu, perasaan suka menerokadan menjelajak serta memberi pengalaman baru kepada kanak-kanak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan